Wednesday, April 18, 2012

Keperluan Sebuah Hospital Untuk Komuniti Islam Cham Di Kemboja

Seperti mana yang telah diberitahu pada entri saya yang lepas, saya bersama ibu dan bapa saya telah ke Kemboja pada hujung minggu yang lalu untuk melihat tapak cadangan pembinaan hospital di daerah Kampong Cham, Kemboja. Idea ini tercetus setelah seorang daripada warga Kemboja yang pernah menetap di Malaysia dan sangat fasih berbahasa Melayu, Ustaz Kauthar, dijemput ke rumah saya untuk menceritakan tentang keadaan sebenar orang Islam di Kemboja dari perspektif warga Islam Kemboja sendiri. Secara keseluruhannya, dia menyatakan terdapat banyak pertubuhan-pertubuhan NGO dari Malaysia yang telah melakukan bantuan amal untuk orang Islam di sana, termasuk memberi bantuan makanan, membina masjid, sekolah dan perpustakaan. Namun begitu, mereka masih menghadapi masalah yang besar yang sehingga kini masih belum dapat diselesaikan, iaitu mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan yang berterusan. Sesuatu yang benar-benar diperlukan oleh masyarakat di sana pada saat ini adalah sebuah hospital. Sebelum saya bercerita lebih lanjut tentang cadangan pembinaan hospital itu sendiri, eloklah jika saya memperkenalkan dahulu tentang komuniti Islam di Kemboja agar tujuan pembinaan hospital ini menjadi lebih jelas.

Di hadapan pejabat Al-Ihsan, sebuah pertubuhan yang diasaskan pada tahun 2001 oleh Ustaz Math Sales (berbaju dan berkopiah putih) dan bahagian pemudanya diketuai oleh anaknya, Ustaz Kauthar (memakai t-shirt biru berserta kopiah putih).
Boleh dikatakan keseluruhan orang Islam di Kemboja adalah dari keturunan Cham. Ada juga di kalangan mereka yang dari keturunan Jawa dan Khmer, namun kebanyakan mereka tinggal dan diserap di dalam komuniti Cham sehingga perbezaan keturunan ini semakin kabur. Komuniti Cham berasal dari kerajaan Champa, sebuah kerajaan maritim yang sangat masyur pada sekitar kurun ke-7 sehingga kejatuhannya pada tahun 1832. Kerajaan ini berpusat di kawasan yang kini letaknya Vietnam selatan. Seperti kebanyakan kerajaan-kerajaan lama yang wujud sekitar kurun ke-7, kerajaan Champa yang asalnya menganut agama Hindu-Buddha telah menjadi kerajaan Islam setelah pengislaman kerabat raja-rajanya oleh pedagang-pedangang Arab, India dan Melaka. Pada tahun 1471, kerajaan Vietnam semakin kuat dan berpengaruh dah akhirnya menghapuskan pusat kerajaan Cham utara, Vijaya. Setelah itu pada tahun 1832, saki-baki kerajaan Cham lain telah dihapuskan sama sekali. Pada selang waktu kejatuhan kerajaan Champa ke tangan Vietnam ini, kebanyakan orang Champa berhijrah ke tempat lain, dan kebanyakan akhirnya menetap di Kemboja. Ada juga yang ke Thailand dan Malaysia, terutama di Kelantan dan Terengganu, dan nada juga yang masih tinggal di Vietnam.

Daerah Kampong Cham

Kini, kawasan yang diduduki oleh orang Cham inilah yang dikenali sebagai daerah Kampong Cham. Kali pertama saya mendengar tentang Kampong Cham, saya terpedaya dengan nama ‘kampong’ di hadapannnya dengan menyangkakan ianya sebuah kampung kecil. Namun, Kampong Cham merupakan daerah yang besar, malah merupakan daerah ketiga terbesar di seluruh Kemboja dengan anggaran jumlah penduduk sebanyak 63,771 orang! Pusat daerah yang dikenali dgn nama yang sama, ‘Kampong Cham’, terletak 124 kilometer dari bandar Phnom Penh. Di dalam daerah ini, dianggarkan terdapat lebih 70 kampung-kampung kecil. Orang Cham bertutur dalam bahasa Cham. Saya memperhatikan bahawa bahasa Cham kedengaran lebih mirip dengan bahasa Melayu berbanding bahasa Khmer yang merupakan bahasa rasmi Kemboja. Saya diberitahu bahawa terdapat banyak perkataan Cham yang sama dengan bahasa Melayu. Oleh itu, orang Cham sangat mudah mempelajari bahasa Melayu. Terdapat juga orang Cham yang boleh bertutur fasih dalam Bahasa Melayu kerana pernah menuntut atau tinggal di Malaysia untuk jangka masa yang lama. Yang menariknya, ada juga antara mereka yang fasih bertutur bahasa Melayu dalam loghat Kedah, Kelantan atau Terengganu! Orang Cham mengamalkan ajaran Islam Sunni dan menganut mazhab Shafie’. Mereka menjalankan kesemua rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu. Shamsuddin Al-Ansari, seorang pakar geografi arab pada tahun 1325 mengatakan bahawa Islam datang ke Champa sejak zaman khalifah Usman dan Ali lagi. Pada hari ini, kebanyakan daripada orang Cham tinggal di kampung dan hidup dalam kemiskinan, maka tidak ramai yang mampu membayar zakat dan menunaikan haji. Kebayakan mereka yang di kampung bekerja sebagai petani dan nelayan, manakala mereka yang lebih dekat dengan kawasan bandar bekerja sebagai peniaga runcit dan restoran.
Orang Cham menunaikan yang solat di Masjid
Orang Cham merupakan puak minoriti di Kemboja. Statistik dari Kerajaan Kemboja menanggarkan hanya sebanyak 4% penduduk Kemboja adalah orang Cham. Namun anggaran dengan julat perbezaan yang sangat besar ini mungkin juga tidak tepat kerana ketiadaan system bancian yang sistematik dilakukan oleh kerajaan Kemboja. Tambahan pula, kebanyakan orang Cham tinggal di pedalaman, menyukarkan proses bancian. Kadar kelahiran orang Cham juga semakin bertambah manakala kadar kelahiran daripada penduduk Kemboja lainnya semakin berkurang, menjadikan peratusan populasi mereka semakin bertambah dari hari ke hari. Anehnya, dengan jumlah penduduk Islam yang begitu ramai (500,000 – 700,000 orang), tiada satu pun klinik atau hospital yang didirikan atau dikendalikan oleh doktor Islam. Faktor utama adalah kekurangan doktor Islam di negara mereka sendiri, yang juga diakibatkan oleh kurangnya peluang pembelajaran untuk anak-anak Cham yang hidup dalam kemiskinan.

Kebanyakan orang Cham menyara diri dengan menangkap ikan di Tasik Tonle Sap (photo courtesy of Nigel Dickinson)
Di sini saya akan mula membicarakan apa perlunya sebuah hospital di daerah Kampong Cham. Dari segi geografi, mereka yang menetap di kampung-kampung pedalaman harus berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di bandar Phnom Penh. Dari kawasan kampung, ia mengambil masa paling kurang 2 jam, dan dari kampung yang terletak di kawasan pedalaman, ianya boleh mengambil masa lebih 5 jam. Kerana kos yang mahal untuk perjalanan ini, kebanyakan mereka pada akhirnya tidak mencari rawatan untuk penyakit-penyakit yang mereka hadapi. Bagi yang mampu pula, mereka terpaksa berhadapan dengan karenah birokrasi dan diskriminasi oleh pengendali di hospital kerajaan yang kebanyakannya tidak memahami Islam dan memandang rendah terhadap orang Islam Cham. Melalui beberapa temu ramah saya terhadap orang di sana, mereka menceritakan kisah-kisah pahit ketika mendapatkan rawatan. Kebanyakan mereka dilayan dengan kasar hanya kerana memakai tudung atau hijab. Keadaan ini menjadi serius sehinggakan kebanyakan mereka terpaksa membuka hijab ketika berada di kawasan hospital bagi mengelakkan layanan buruk dan diskriminasi pihak hospital. Masalah yang lebih besar timbul apabila adanya ibu yang hendak bersalin. Kerana ketidakfahaman kebanyakan orang di Kemboja terhadap Islam, maruah pesakit, terutama ketika bersalin tidak begitu dititik-beratkan. Suatu kisah sedih yang dikongsikan oleh seorang penduduk di sana adalah pada suatu ketika, seorang ibu yang bersalin bukan sahaja dijaga dan bayinya disambut oleh doktor lelaki (ini masih boleh diterima), namun turut diperhatikan oleh 10 orang doktor pelatih di dalam bilik bersalin tersebut yang kesemuanya lelaki! Memanglah keadaan ini dikira sebagai darurat, dan mungkin memang niat kesemua doktor pelatih tersebut hanyalah untuk belajar, namun alangkah baiknya sekiranya ibu yang bersalin mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan dan bersalin di sebuah hospital yang menitik beratkan adab di dalam Islam selain juga menitik beratkan pengajaran.

Ibu saya (paling kiri) bersama kaum hawa Kampong Cham
Keperluan untuk sebuah hospital juga timbul dengan bertambah jumlah dan saratnya penyakit yang dihadapi oleh kanak-kanak. Hasil temuramah saya mendapati kebanyakan anak-anak menghidapi penyakit saluran permakanan, penyakit kulit, kekurangan nutrisi dan penyakit berjangkit. Penyakit berjangkitan seperti jangkitan cacing pernah diberi perhatian oleh sebuah pertubuhan NGO di Malaysia di mana mereka membekalkan ubat-ubat cacing kepada kanak-kanak di sana. Namun, seperti juga bantuan kemanusiaan lain, kelangsungan dan keberterusan usaha-usaha ini amat sukar dengan tiadanya pertubuhan tetap yang mengendalikan usaha-usaha ini yang berpangkalan di Kemboja. Oleh itu, kebanyakan usaha-usaha ini hanya dilakukan paling banyak setahun sekali sedangkan pesakit memerlukan ‘follow-up’ atau perhatian perubatan yang berterusan.

Ustaz Kauthar menunjukkan tanah yang dicadangkan menjadi tapak penubuhan hospital
Terdapat juga beberapa lagi kisah yang mungkin saya akan kongsikan di entri-entri akan datang. Saya berharap agar idea dan usaha untuk membina sebuah hospital di sana akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Saya sedar bahawa usaha ini amat sukar dan mungkin memakan masa bertahun-tahun melihat kepada proses penubuhan hospital di Malaysia sendiri. Namun begitu, saya berharap segala usaha ini tidak akan menjadi sia-sia. Sebagai permulaan, saya akan berusaha untuk menubuhkan sebuah badan NGO yang berperanan memantau, mengendali dan mengutip derma untuk tujuan pembinaan hospital. Saya juga memerlukan bantuan orang ramai untuk menyebarkan maklumat tentang komuniti Islam di sana dan juga tentang pembinaan hospital ini. Diharap semua usaha ini diberkati oleh Allah SWT, insyaAllah. 

4 comments:

Nurin Farhanah said...

dah namanya satu nusantara, serumpun, muka dan bahasa lebih kurang saje

sedih tengok saudara-saudara kita di dunia

dayanaazhar:) said...

alhamdulillah. what a great and kind effort of yours. :)

Anonymous said...

I'm the one of them :-)

Anonymous said...

nice work! but the thing always playing in my mind about d workers. r u going to hire doctors? or it is open to any volunteers dr to work there?

Popular Posts